Sistem Repositori Arkib Digital JAKIM (e-SiRAJ) merupakan platform penyimpanan dokumen hal ehwal Islam JAKIM secara berpusat yang berfungsi sebagai arkib jabatan dalam format digital. E-SiRAJ dibangunkan dengan tujuan memelihara dan menyimpan dokumen rujukan utama JAKIM, merangkumi dokumen terbuka dan dokumen terperingkat seperti kertas cadangan, kertas laporan, minit mesyuarat, memorandum persefahaman, pelan strategik, pelan tindakan, teks ucapan dan lain-lain.
Dengan adanya sistem ini, ia dapat memelihara dan menyimpan dokumen hal ehwal Islam JAKIM dalam format digital, menjadi pusat rujukan warga JAKIM dan meningkatkan kecekapan pengurusan dokumen hal ehwal Islam JAKIM. Sistem ini dapat memberi manfaat berikut:
(i) Pengurusan dokumen hal ehwal Islam JAKIM menjadi lebih sistematik dan efisien, selari dengan keperluan semasa.
(ii) Pencarian maklumat menjadi lebih mudah dan cepat melalui enjin carian berasaskan kata kunci, berbanding pencarian secara manual melalui dokumen fizikal.
(iii) Menjadi pemudah cara kepada warga JAKIM untuk mengakses dokumen rujukan yang diperlukan.
(iv) Berperanan sebagai arkib jabatan dalam format digital.
(v) Menjamin dan memelihara dokumen daripada kehilangan, kerosakan ataupun kemusnahan akibat pelbagai faktor seperti pertukaran pegawai, serangan serangga perosak, banjir, kebakaran dan sebagainya.